Sebahagian besar daripada kita asalnya datang daripada keluarga yang serba kekurangan. Sewaktu kecil, kita pernah merasa punyai hanya sepasang baju sekolah yang senteng kerana ayah tidak mampu membeli pakaian baru. Ataupun, kita menyarung baju yang gedoboh kerana ia asalnya pakaian sekolah abang yang diberi kepada kita. Keadaan yang sangat sempit susah.
Untuk berjimat, kita membawa bekal ke sekolah berupa lempeng atau cekodok atau jemput-jemput sekadar mengalas perut. Walaupun diberi duit belanja, ianya cukup-cukup untuk membeli mi sepinggan dan segelas air sirap. Itu pun sudah cukup baik kerana ramai lagi kawan-kawan di waktu itu tidak membawa se sen pun ke sekolah. Mereka berlapar. Kalau haus, mereka menonggeng minum air masak yang dibawa dari rumah.
Di rumah, kita makan apa yang emak hidangkan. Kadang-kadang, makan malam kita adalah lauk tengahari. Ada juga masanya, makan malam kita adalah lauk dua tiga hari yang lepas, yang diperhangat sampai kering. Seisi keluarga akan makan hidangan yang sama. Bukan macam sekarang. Adakalanya, hanya si suami yang akan makan masakan isterinya, sedangkan anak-anak makan apa jua menu selain daripada masakan ibu.
Siapa yang tidak pernah merasai kemiskinan? Sama ada ketika di kampus ataupun di hari-hari terakhir bulan ketika hidup membujang, sebahagian daripada kita tentu sekali pernah mengalami situasi tidak berduit hendak makan. Keadaan itu cukup menyakit dan memalukan. Malu pada orang dan malu pada diri sendiri.
Sebab itu, kita berazam untuk mengubah cara hidup dengan belajar rajin-rajin hingga mendapat kerja baik, atau menjadi usahawan hingga hidup kita menjadi selesa, kaya dan akhirnya dihujani kemewahan yang melimpah ruah. Alhamdulilah. Kita yang asalnya susah dan 'makan untuk hidup' kini bertukar senang dan kini 'hidup untuk makan.